Friday 4 March 2011

Pemakanan Utama Bayi

Menjelang bulan kelima atau keenam, bayi anda akan memulakan satu lagi fasa baru yang menyeronokkan dalam kehidupannya – pemakanan!

Jika anak anda itu anak sulung, anda mungkin tidak mengetahui betapa mencabarnya proses memberi makan kepada bayi. Sesetengah bayi suka makan dan sungguh gembira bila disuapkan. Ada juga yang menolak apabila cuba disuapkan, memusingkan kepala dan meronta-ronta menghampakan ibu yang puas mencuba. Sememangnya proses pemakanan bukan sesuatu yang mudah dipelajari setiap bayi.
Sebelum bermula, anda perlu bersiap sedia – dari segi mental, emosi dan psikologi. Anda perlu tahu yang bukan salah anda jika bayi menolak makanan istimewa yang anda bertungkus-lumus menyediakan untuknya.
Bersedia untuk:
  • Makanan bertaburan: Bayi mungkin lebih suka bermain dengan makanan dari memakannya.
  • Masa menyuap yang panjang: Kadang-kadang bayi mungkin kurang berselera. Bersabar dan putuskan samada ingin berhenti menyuapnya dan menyambung semula apabila bayi sudah lapar.   
  • Penolakan: Jangan ambil hati jika bayi tidak menyukai makanan yang anda sediakan. Ia adalah suatu proses peralihan dan bayi memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
  • Tindakbalas terhadap makanan tertentu. Awasi anak anda untuk sebarang tanda alergi seperti ruam dan gangguan pernafasan.
  • Selera tidak menentu: Sesuatu yang digemarinya minggu ini mungkin tidak disukai pada minggu depan.

Cara bermula

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan masa paling sesuai untuk memulakan makanan pejal ialah apabila bayi berusia enam bulan. Elakkan dari memulakan pemakanan terlalu awal kerana buah pinggang dan sistem penghadaman bayi masih belum matang. Susu masih perlu diberikan kerana bayi memerlukan kalsiam, protein, vitamin dan mineral untuk membina gigi, jisim tulang dan otot yang kuat.   
Cara terbaik untuk bermula ialah dengan menanam rasa keseronokan sewaktu makan! Biarkan bayi duduk berama-sama keluarga di meja makan semasa makan walaupun dia tidak makan waktu itu. Dia hanya perlu melihat ahli keluarga yang lain mengambil makanan, mengunyah, menelan dan menikmati perhubungan sosial semasa makan bersama.   
Untuk bulan-bulan pertama, makanan bayi perlu dilecekkan menjadi lumat untuk memudahkan penghadaman. Mulakan dengan hidangan yang kecil, mungkin satu atau dua sudu teh. Selebihnya boleh disimpan dalam peti ais. Setelah gigi bayi mula tumbuh, kepingan makanan yang lebih besar dan biskut bayi boleh diberikan untuk dikunyah. 
Setelah mencapai usia satu tahun, dia boleh berkongi sedikit makanan yang sesuai untuk bayi di meja makan seperti nasi dan sedikit ikan, sayuran atau ayam.
Sediakan sudu plastic supaya bayi dapat berlatih makan. Jangan biarkan bayi makan bersendirian untuk mengelakkannya dari tercekek. Awasi abang dan kakaknya semasa makan jika mereka cuba untuk berkongi makanan dengannya. 

Apabila bayi enggan makan

Masa makan boleh bertukar menjadi medan perang apabila bayi yang enggan makan bertempur melawan ibu yang bersungguh-sungguh ingin menyuapnya. Apabila ini terjadi, lebih baik mengalah dan bertenang. Memaksa bayi makan adalah sesuatu yang tidak produktif. Bayi mungkin tidak menyukai makanan tersebut untuk selamanya. 
Adalah penting untuk kita mengetahui kenapa bayi tidak mahu makan. Di antara sebabnya termasuk:
  • Masih kenyang: Adakah bayi baru saja minum susu? Adakah masa makan sebelum ini terlalu rapat? Kebanyakan bayi akan makan apabila lapar, oleh itu amat penting untuk menjadualkan masa makan dengan betul.
  • Terlalu mengantuk atau letih: Bayi akan meragam jika tidak cukup rehat. Biarkan dia tidur dan suapkan makanan selepas dia bangun.
  • Tekanan: Memaksa bayi makan boleh menimbulkan penentangan. Masa makan sepatutnya menggembirakan dan waktu untuk rileks.
  • Terlalu terangsang: Adakah televisyen sedang menayangkan filem aksi? Bayi akan leka dan lupa untuk makan.    
  • Mengalih perhatian: Adakah terdapat kanak-kanak lain bermain berdekatan rumah anda? Adakah dia baru saja mendapat permainan baru? Dia akan lebih berminat untuk bermain dari makan. Alihkan semua gangguan untuk membolehkan dia makan.

Tip memberi makan:

1. Isikan hujung sudu plastik dengan sedikit makanan bayi
2. Jangan campurkan garam, gula dan rempah dalam makanan bayi
3. Jangan berikan makanan yang tidak dapat dihabiskan kepada bayi untuk menggelakkan risiko keracunan makanan
4. Kekacang hanya boleh diberikan kepada bayi setelah dia mencapai usia lima tahun
5. Awasi makanan yang anda mempunyai alergi kerana bayi anda mungkin mewarisi keadaan yang sama
6. Elakkan makanan rendah lemak dan kaya serat kerana bayi memerlukan kalori untuk membesar
7. Beri satu jenis makanan pada satu- satu masa supaya anda dapat memantau makanan yang menyebabkan alergi                                                                              

No comments: